Saturday, July 4, 2009

Menjejaki Bali...Pulau Dewata

Terasa belum puas rasanya hati menjelajah seluruh pelosok Pulau Bali.Mana tidaknya, pantai Kuta dan tempat-tempat bersejarah yang ada di sana tak tercapai dek akal untuk diterokai. Walaupun lebih 4 hari menetap di Bali, belum tentu cukup untuk mengupas sejarah Pulau Dewata ini.
Namun apabila memikirkan kunjungan ke Bali yang diadakan buat julung kalinya cukup meriah. Bersama 24 pelajar dan 6 guru dari Sekolah Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Sekolah Menengah Dunearn yang bertuah, kami ’berkampung di Wina Holiday Villa selama 5 hari 4 malam bermula pada 14 hingga 18 Mac 2009.
Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk memperkukuhkan ketrampilan berbahasa Melayu dan sastera, serta mendedahkan pelajar-pelajar kepada aspek-aspek warisan kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan Melayu di Nusantara khususnya negeri Bali, Indonesia selain dari mengeratkan hubungan pelajar-pelajar dan guru-guru dari sekolah-sekolah Sokongan Kelompok Sastera.
Hari Pertama
Jam 5 pagi pagi kami berkumpul di Lapangan Terbang Changi untuk memulakan penerbangan bersama pesawat Tiger Airways. Tepat pukul 6.30 pagi pesawat kami bertolak. Kami tiba di destinasi kami selepas 3 jam kemudian. Alangkah gembiranya apabila apabila kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali dan disambut dengan kalungan bunga oleh gadis-gadis manis. Turut hadir ialah pemandu pelancong yang bernama Pak Tommy dan Encik Gede, yang terus membawa kami ke destinasi pertama iaitu Sekolah SMA 8, Bali, sebelum kami pergi ke Wina Holiday Villa di mana kami menginap selama 4 hari sepanjang lawatan kami di Bali.
Pulau yang terletak di bahgaian Timur Indonesia itu mendapat banyak gelaran dan jolokan kerana keindahan semulajadi serta kemesraan mendampingi setiap kali pelawat tiba di Pulau itu. Pulau yang indah ini bukan sahaja menjadi tumpuan para pelancong biasa tetapi juga menjadi tumpuan mereka yang gemar bermain jetski atau papan layar kerana di Bali, terutamanya di Kuta mempunyai pantai yang sangat sesuai untuk sukan sedemikian.
Kedatangan kami ke Sekolah SMA 8, Bali, telah disambut dengan kalungan bunga kemboja, tarian, paluan gendang dan orkestra gamelan oleh pelajar-pelajar dan juga guru-guru sekolah itu turut mengiringi kedatangan kami. Terharu kami dibuatnya kerana disambut sebegitu meriah persis para VIP.
Persembahan-persembahan yang dipersembahkan khas untuk kami seperti tarian Barong, gamelan Bali dan sajak dalam bahasa Sanskrit dan Bali amat menarik dan unik sekali. Guru-guru juga ‘sporting’ belaka untuk berjoget dengan penari-penari persembahan itu. Setelah persembahan, kami bergambar dan beramah mesra dengan pelajar-pelajar SMA N8 Denpasar. Sungguh hiba rasa di hati apabila tiba masa untuk kami berpisah walaupun baru beberapa jam berkenalan. Jelas tergambar di raut wajah masing-masing suatu perasaan tidak sabar untuk merebahkan diri setelah penat melalui perjalanan menaiki pesawat dan bas.
Akhirnya bas yang membawa kami selamat tiba di di Wina Holiday Villa. Kedatangan kami telah disambut dengan meriah dengan penuh suasana harmoni dan santai. Rasa sedikit terubat dan terpegun melihat keindahan Villa yang dikelilingi tumbuhan-tumbuhan segar ditambah pula segala macam perhiasan di dalamnya yang turut bermotofkan alam semula jadi.
Makan malam pada hari itu adalah di tepi pantai Jimbaran. Jimbaran sangat terkenal sebagai tempat popular untuk menikmati makan laut dan dan terbenamnya matahari. Ramai pelancong menghabiskan waktu bercengkrama, duduk mengelilingi meja yang ditempatkan di atas pantai berpasir putih ini. Ketika sampai di Jimbaran, kami melihat begitu banyak restoran berbaris di sepanjang pantai. Di restoran, kami disajikan dengan makanan yang terdiri dari nasi, ikan laut bakar, tumis kangkung, dan berbagai macam sambal. Selanjutnya, kami duduk sahaja di kerusi di pantai sambil menunggu matahari terbenam. Pemandangan matahari terbenam amat menakjubkan dan memberi kesedaran betapa indahnya ciptaan Tuhan.

Hari Kedua
Hari kedua program penyerapan ini banyak dihabiskan untuk mempelajari budaya dan adat orang di Bali. Setelah bersarapan pagi, kami bergegas ke Githa Ariswara Alon Gallery. Kami telah mempelajari tarian Bali, Puspanjali di Githa Ariswara Alon Gallery kelolaan keluarga Marhum Pak I Ketut Alon di mana terdapat anak-anak kecil yang menjadi guru tarian kami.
Mungil dan comel sungguh mereka menari dan apabila dewasa kelak, saya yakin mereka akan menjadi seorang penari yang tersohor.
Tarian Bali yang kami pelajari ternyata amat rumit dan memerlukan penumpuan dan tahap kedisiplinan yang tinggi sekali kerana tarian Bali amat berbeza sekali berbanding dengan tarian Melayu. Tarian Bali harus ditarikan dengan lirikan mata. Apatah lagi dengan saya yang sememangnya tidak pernah belajar menari maka canggung dan kakulah pergerakan aya’. Tetapi, kami tidak berputus asa dan setelah dua jam setengah mempelajari tarian itu, kami pun berpeluang mempersembahkannya di depan khalayak ramai. Terasa amat seronok sekali apabila kita menarikannya dengan iringan muzik gamelan. Satu pencapaian yang signifikan sekali apabila kami berjaya menarikannya.
Setelah selesai berkunjung ke Alon Gallery, kami ke Royal Palace Bali dan Rumah Adat masyarakat Bali yang masih belum terjejas dengan arus kemodenan. Terdapat rumah Barat, Timur, Utara dan Selatan dalam sesebuah kawasan yang dimiliki oleh sebuah keluarga. Rumah-rumah itu adalah untuk pelbagai kegunaan seperti rumah bagi pengantin baru, untuk keluarga yang baru melahirkan anak, rumah sembahyang dan rumah untuk menanam tembuni (placenta) bayi yang baru dilahirkan.

Hari Ketiga
Hari ketiga pula kami pergi ke Treasure Island tetapi jangan pula salah anggap. Treasure Island bukanlah sebuah pulau tetapi hanyalah sebuah tempat di mana kami boleh mempelajari adat, istiadat dan budaya orang-orang Bali. Kami menghadari sesi masak dan kemudiannya mempelajari bagaimana hendak membuat canang atau ‘offerings’. Canang itu harus disusun dengan bunga yang berwarna-warni yang harus diletak mengikut arah yang betul. Kami juga berpeluang memakai baju-baju Bali seperti pakaian Cenderawasih. Apalagi, kami cubalah menari Tarian Puspanjali yang telah dipelajari kami dengan pakaian Bali itu. Hasilnya, kami terasa seperti betul-betul seorang penari Bali. Di Treasure Island juga, kami dapat membuat kraftangan seperti lukisan batik, melukis mengikut kreativiti kami dan juga mewarnakan patung kecil seperti ikan lumba-lumba dan kucing. Tidak lupa juga perlawanan gasing dan terompah yang dicuba oleh kami sehingga ada orang yang terjatuh. Sungguh menyeronokkan dan terasa seperti berada di kampung apabila berada di Treasure Island ini. Setelah berada di Treasure Island sehari-suntuk dan membeli-belah di Kampung Bali, kami pun pergi ke Tanah Lot.
Pemandangan di sini sungguh indah sekali. Bunyi ombak serta tiupan angin sepoi-sepoi membuat kami berasa tenang dan boleh melupakan segala masalah yang ada. Enam kuil yang telah dibina sebagai penghormatan kepada penunggu atau penjaga laut terletak di atas sebuah batu yang besar. Kita hanya boleh pergi ke kuil tersebut apabila air surut kerana kita harus berjalan merentasi air laut untuk sampai ke kuil itu.
Menurut sejarah, pada abad ke 15, seorang penganut agama Hindu, Nirantha telah pergi ke tempat ini. Dia ternampak cahaya yang datang dari pulau ini lalu membuatnya berhenti seketika dan bertapa di situ. Dia mendapat ketenangan selepas bertapa lalu memberitahu para nelayan tentang keajaiban tempat tersebut. Nirantha dan beberarapa orang nelayan telah mendirikan enam buah kuil di Tanah Lot. Dengan berbuat demikian, Tanah Lot telah menjadi tempat kegemaran pelancong kerana keindahan alam semula jadinya serta sejarah yang tersirat daripada pembikinan kuil-kuil tersebut.
Di Tanah Lot, kami diberi satu tugas untuk menulis sajak untuk dihantar bagi peraduan Puisi Artistik Qalbu yang dianjurkan NUS PBMUKS. Pemandangan matahari terbenam di Tanah Lot dan bunyi ombak memukul pantai memberikan kami inspirasi untuk menulis sebuah sajak.

Hari Keempat
Hari keempat pula kami pergi ke Kintamani. Kintamani, yang terletak di Kabupaten Bangli, menawarkan pemandangan danau yang indah sambil menikmati hidangan makan siang. Di sini kita dapat menikmati keindahan Gunung dan Danau Batur yang mengeluarkan asap yang memperindah suasana. Jangan lewatkan untuk mengunjungi objek wisata Toya Bungkah dan juga Trunyan yang terkenal dengan sistem pemakaman yang unik.
Pada hari terakhir juga kami di Bali kami telah menonton persembahan Tarian Barong dan Tarian Kecak. Tarian Barong diiringi oleh muzik gamelan dan Tarian Barong ini seperti tarian singa dan adalah berdasarkan sebuah cerita epik Ramayana dan Mahabrata. Tarian Kecak pula tidak diiringi dengan sebarang muzik cuma dengan tepukan tangan atau perkataan ‘ke-chak’ yang diulang-ulang. Pada mulanya, tarian itu tidaklah menakutkan sangat tetapi pada pengakhiran tarian itu, terdapat seorang lelaki yang mampu berjalan dan menendang-nendang unggun api akibat disampuk. Saya hanya khuatir jikalau api itu akan terkena saya. Selepas persembahan itu kami mengambil gambar bersama-sama para pelakon dan penari Tarian Kecak itu. Secara keseluruhannya, dengan menonton tarian-tarian ini semua, ia memberikan kami peluang untuk mengenali lagi seni-seni dan adat budaya di Bali.
Sebelum pulang ke Singapura kami sempat singgah di Uluwatu, Batulan Village untuk menonton pementasan Tarian Barong yang memaparkan kisah pertembungan unsur "baik" & "jahat". Tarian ini merupakan adaptasi kisah silam yang terkenal. Kami amat terpesona dengan lenggok penari-penarinya yang begitu lemah gemalai dalam pergerakan yang berkoordinasi dengan jelingan dan lentikan jari yang mengasyikkan.
Kami juga berpeluang menyaksikan Tarian Kecak yang rancak dan agresif. Lazimnya ditarikan oleh golongan kaum Adam pada waktu malam. Babk-babak kerasukan juga tutu diselitkan bagi menghangatkan suasana yang penuh mistik.Ternyata masyarakat Bali kaya dengan amalan tradisi masih belum ternoda oleh arus kemodenan.
Tepat jam 6 petang, pesawat kami berlepas ke Singapura. Kami agak sedih meninggalkan Pulau Bali dsengan segala keajiban semulajdinya. Pun begitu, harapnya masih ada peluang lagi untuk ke sini.
Setiap pengalaman yang dikutip di Bali memberikan kenangan yang penuh bererti untuk dikenang sampai bila-bila. Rombongan kami turut merakamkan video dan foto dengan penari-penari Kecak sebagai kenangan terindah di Pulau Bali sempena Program Penyerapan Kesusasteraan ke Bali.
Sungguh mudah untuk saya katakan yang inilah percutian paling menyeronokkan pernah saya alami. Saya ke sini dengan tidak tahu apa-apa, hanya berpandukan Internet. Syukur orang di Bali sungguh ramah-tamah dan suka menolong. Di Bali kami mendapat bantuan pemandu pelancong yang sungguh informatif dan tak segan untuk memberi tunjuk arah. Suatu hari nanti, pasti ku akan ke sini lagi.
Program ini jelas telah memberi kami semua peluang keemasan untuk mempelajari budaya serta adat istiadat negeri lain. Ia juga mengeratkankan lagi ikatan silaturrahim antara murid-murid dan guru-guru dari sekolah-sekolah sekolah yang berbeza budaya dan pengalaman. Andainya diberi peluang kedua, saya yakin guru-guru dan para pelajar yang terlibat dalam program ini pasti akan pergi sekali lagi ke Bali, Pulau Dewata.

No comments:

Post a Comment